Kertas lebih mesra alam?

Jika anda bertanya pada orang yang berada di sebelah anda; yang mana satu berbahaya kepada alam sekitar, beg plastik atau beg kertas? Pasti jawapan yang diterima adalah beg plastik. Ini memang telah dijangkakan kerana mereka selalu terbaca dan diberitahu bahawa plastik berbahaya kepada alam sekitar dan mengambil masa beratus ratus tahun untuk terurai sedangkan kertas mudah terurai. Pelbagai kempen juga diadakan tentang bahaya penggunaan beg plastik. Tentu sahaja jawapan tersebut adalah betul jika dilihat daripada perspektif penggunaan.

plasticbag

 

 

Tapi jika dilihat dari perspektif proses penghasilan, anda mungkin akan terkejut bila mengetahui bahawa proses penghasilan kertas amat memudaratkan kepada alam sekitar.

Kita akan cuba fahami impak pembuatan dan penggunaan kertas terhadap manusia dan alam sekitar. Tiga aspek utama akan kita perhatikan :

  • Sumber
  • Pembuatan
  • Pelupusan

paperbag

 Sumber

Sumber bagi penghasilan kertas adalah pulpa daripada kayu. Untuk mendapatkan kayu, semestinya penebangan hutan akan dilakukan. Dianggarkan 40% dari hasil penebangan hutan adalah untuk kegunaan dalam pembuatan kertas.

Penebangan hutan yang tidak terkawal dan secara besar-besaran memberi kesan perubahan ekosistem semula jadi dan pemusnahan habitat bagi pelbagai haiwan dan tumbuhan. Dianggarkan 80% haiwan dan tumbuhan di bumi berada di dalam hutan. Dengan pemusnahan habitat, kebanyakan daripada haiwan dan tumbuhan ini mungkin tidak lagi mampu untuk hidup dan berlakunya kepupusan pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan.

Antara penyebab banjir juga dikaitkan dengan akibat daripada penebangan hutan. Bagi kawasan yang telah ditebang hutannya, sistem kawalan banjir semula jadi telah hilang. Tanpa pokok, hujan yang turun tidak lagi ditakung oleh daun-daun dan meluap ke udara, menyebabkan lebih banyak air sampai ke permukaan tanah dan lebih banyak aliran air berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah dan sedimentasi pada sungai yang menyempitkan dan mencetekkan lagi sungai sehingga ia tidak mampu lagi menakung lebihan air. Keupayaan akar pokok untuk menyerap air dari tanah juga telah hilang menyebabkan tanah tidak lagi mampu menakung air dengan banyak. Selain itu, akar pokok yang selama ini memegang tanah tidak lagi ada dan menjadikan tanah poros dan mudah terhakis terutamanya di kawasan cerun bukit dan boleh mengakibatkan banjir lumpur.

Pokok juga memainkan peranan dalam perubahan cuaca. Semua orang tahu tentang proses fotosintesis, di mana tumbuhan menggunakan cahaya matahari, air dan karbon dioksida untuk menghasilkan makanan. Semua telah maklum bahawa karbon dioksida adalah antara gas penyumbang kepada kesan rumah hijau selain daripada wap air, gas metana, ozon, nitrus oksida dan gas florin (HFCs, PFCs and SF6) dan lain-lain. Tanpa pokok, keupayaan menyerap atau mengurangkan karbon dioksida dari atmosfera telah berkurangan dan proses pemanasan global akan dipertingkatkan.

Kerja-kerja penebangan, pengangkutan kayu dari hutan ke kilang dan sebagainya memerlukan penggunaan jentera-jentera berat. Setiap jentera ini pula memerlukan tenaga yang besar yang sumbernya datangnya dari bahan api fosil. Pengurangan sumber bahan api fosil berlaku.

 

Pembuatan

Proses pengilangan pembuatan kertas memerlukan sejumlah besar penggunaan tenaga, air dan pelbagai jenis bahan kimia untuk menukar serat kayu menjadi pulpa. Bahan-bahan kimia yang digunakan seperti klorin, soda kaustik, ammonia, nitrat dan sebagainya. Bahan-bahan kimia ini boleh merosakkan alam sekitar dalam pelbagai cara seperti tersebar ke udara atau air selain ia juga berbahaya kepada manusia.

Dari segi penggunaan air, dikatakan untuk menghasilkan sekeping kertas bersaiz A4, sebanyak 10 liter air diperlukan. Menurut EPA Amerika Syarikat, industri kertas merupakan pengguna air terbesar  bagi setiap tan. Efluen air terbuang dari proses pembuatan pula merupakan penyumbang ke empat terbesar bahan toksin ke permukaan air dan penyumbang utama pencemaran air.

Proses pembuatan kertas juga dikatakan pengguna tenaga ke 5 terbesar dunia, kira-kira 4% tenaga dunia. Dianggarkan untuk menghasilkan 1 tan kertas, sebanyak  958 liter petrol diperlukan.

 

Pelupusan :

Pembuangan kertas pula menghasilkan masalah lain kepada alam sekitar. Apabila kertas di lupus ke tanah, ia akan terurai dan produk sampingan terhasil adalah metana. Metana yang terhasil adalah 69 kali lebih banyak berbanding bahan api fosil dan berupaya memerangkap haba 23 kali ganda besar dari karbon dioksida, menjadikan ia penyumbang kepada pemanasan global atau kesan rumah hijau. Apabila dibakar pula, kertas menghasilkan karbon dioksida yang mana memberi kesan sama kepada pemanasan global.

 

Kesimpulan:

Secara umum, sama ada kita menggunakan beg plastik atau beg kertas, dua-duanya tidak memberikan kelebihan dari aspek penjagaan alam sekitar. Kedua-duanya memerlukan tenaga yang banyak, sumber bahan yang banyak, merosakkan ekosistem dan habitat, mencemar udara, air dan tanah sewaktu proses pembuatan dan pelupusan.

Alternatif terbaik buat masa ini adalah untuk menggunakan beg yang mampu terbiodegrasikan yang boleh diguna semula berulang kali. Sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan ke bergantungan kita terhadap beg plastik dan kertas. Kurang penggunaan bermakna kurang juga pembuatan dan pelupusan atau pendedahan kepada alam sekitar. Ingat pada 3 R:

 

REDUCE

       REUSE

RECYCLE


Return
Jun 21, 2017 Category: General Posted by: shah
 Add a Review 

This is a captcha-picture. It is used to prevent mass-access by robots. (see: www.captcha.net)
Next page: SW Guide